NASI DAGANG ATAS TOL

NDAT

Nasi Dagang & Teh Peng 'Ombak Rindu'

 

Warung ini terletak bersebelahan dengan hentian bas yang juga berada di tepi kubur di Kampung Atas Tol. Warung Nasi Dagang Atas Tol ini lebih dikenali penduduk tempatan dengan nama gerai tepi kubur kerana kedudukannya yang bersebelahan dengan tanah perkuburan itu.

Selain terkenal dengan Nasi Dagang dan Teh Peng 'Ombak Rindu', di sini juga terdapat nasi impit nasi minyak ayam kampung, laksam serta beraneka jenis kuih muih tempatan. 

 

___________________________________________________________________________________

 

  • BEPANG PULUT
Bepang Pulut Terengganu
Bepang Pulut Terengganu

 

Terengganu yang sememangnya sinonim dengan industri pembuatan kuih tradisional pastinya tidak lengkap sekiranya pelancong datang ke negeri ini tidak membawa pulang kuih tradisional sebagai ole-ole. Begitu juga dengan dengan kuih bepang pulut yang sering dijadikan sebagai makanan ringan masyarakat tempatan dan keenakan rasa bepang pulut pula terletak pada bahan yang menggunakan beras pulut, nisan dan garam. Menyedari tidak ramai pengusaha kuih tradisional mengusahakan industri bepang pulut, sepasang suami isteri menjalankan perusahaan tersebut sejak 20 tahun lalu di sebuah bengkel yang terletak di Kampung Surau Panjang, Bukit Payong dekat sini. Mereka dibantu beberapa pekerja wanita tempatan. Salah seorang pembantunya, Meriam Othman, 48, berkata, biarpun penghasilan bepang pulut nampak mudah namun ia masih memerlukan kecekapan dan penelitian untuk memastikan produk keluaran mereka berkualiti. “Mungkin kalau orang lihat pembuatannya mudah kerana beras pulut dijemur hanya perlu dimasak bersama nisan dan  bahan yang dimasak itu tidak boleh terlalu lama kerana dikhuatiri hangus. Selepas dimasak, teknik potong juga perlu betul dan selari agar bentuk bepang pulut nampak menarik dan kemas,” katanya. Malah permintaan kuih tradisional ini terus meningkat menjelang cuti sekolah pada akhir November apabila tempahan banyak diterima daripada mereka yang hendak mengadakan majlis perkahwinan. Meriam berkata, sebungkus bepang pulut mempunyai tiga biji yang dijual dengan harga 50 sen dan RM1 bagi bungkusan yang besar dan ia bukan sahaja disukai orang Melayu malah kaum Cina dan India kerana rasanya enak. Malah makanan kudapan ini juga boleh dibawa pulang pelancong sebagai cenderamata, selain ia juga mampu bertahan lebih seminggu selepas dibungkus.